| |
Suhuf Ibrahim
Abu Zar, seorang sahabat Nabi
s.a.w yang zuhud pada suatu masa ingin tahu tentang apa yang terdapat dalam
suhuf-suhuf terdahulu. Beliau mengemukakan persoalanya itu kepada Rasulullah
s.a.w dalam satu majlis dan berkata; Wahai Rasulullah !, apakah ajaran yang
terdapat dalam suhuf (lembaran) yang diturunkan kepada nabi Ibrahim?. Nabi
Ibrahim telah dikurniakan suhuf yang berupa lembaran yang diturun daripada
Allah. Didalam lembaran itu terkandungan pengajaran yang disampaikan dalam
bentuk perbandingan dan misalan. Suhuf itu tidak kekal sehingga zaman nabi
Muhammad s.a.w.
Oleh kerana Rasul di berikan wahyu dan ilmu tentang pristiwa-peristiwa yang
terdahulu baginda dapat menjawab persoalan Abu Zar dengan jelas sekali.
"Semua didalamnya adalah perumpamaan dan misalan" kata Baginda.
Abu Zar tentu sudah tahu pada asasnya suhuf-suhuf nabi terdahulu merupakan
ajaran yang turunkan Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w menjawab dalam
bentuk method pengajaran disampaikan iaitu method permisalan.
Misalan yang pertama ialah tentang prilaku seorang raja yang zalim, menindas,
angkuh, tamakkan harta dan lupa tanggunjawab.
Rasulullah s.a.w menyebut sedutan dari suhuf Ibrahim tersebut berbunyi;
Wahai raja yang sombong, menindas dan rakus ! , Aku (Allah) tidak utuskan
kamu untuk mengumpul dunia yang banyak, tetapi aku utuskan kamu untuk
bertugas bagi pihakku mengembalikan hak orang yang dizalimi, sesungguhnya
aku mengembalikannya walaupun daripada orang kafir.
Allah tidak utuskan raja untuk menindas tetapi supaya mereka menjaga hak
orang yang dizalimi samada hak itu berupa harta, kebebasan dan layanan sama
rata. Tetapi malangnya kebanyakan raja dan pemerintah lupa tanggungjawab dan
rakus serta menindas.
Misalan kedua ialah tentang cara membahagi masa. Seorang yang cerdik dan
berakal seharusnya bijak membahagikan masanya seimbang untuk pembangunan ruh
dan jasadnya. Manusia perlu masa untuk bermunajat kepada tuhannya, masa
untuk memuhasabah diri, masa untuk berfikir tentang kebesaran ciptaan Allah,
dan masa untuk makan dan minum.
Seolah-olah Rasulullah s.a.w menujukan cakapnya kepada kita yang hidup pada
hari ini apabila berkata; Seorang yang berakal seharusnya selama akalnya
tidak sewel, menyusun masa-masanya kepada beberapa segmen, masa untuk
masa untuk bermunajat kepada tuhannya, masa untuk menghitung diri, masa
untuk berfikir tentang kebesaran ciptaan Allah, dan masa untuk makan dan
minum.
Keutamaan yang dicadangkan oleh Allah dalam Suhuf Ibrahim sebagaimana
dipetik oleh Rasulullah dan diceritakan kepada kita melalui hadis Abu Zar
ini mungkin tidak sama dengan keutamaan yang kita buat hari ini. Kita
selalunya memperuntukkan masa untuk kehidupan jasad lebih banyak dari masa
yang kita peruntukkan untuk jiwa dan ruh kita. Sebab itu kita menjadi
manusia yang bertubuh badan besar dan gemuk sementara ruh kita lemah dan
kurus. Apa gunanya badan yang besar dan gemuk ini kepada kita? Dan apa nilai
manusia yang tidak punya ruh yang tinggi?.
Misalan yang ketiga diceritakan oleh Rasulullah s.a.w daripada Suhuf Ibrahim
ialah mengenai tujuan keluar dan pergi-mari seorang muslim. Menjadi
kebiasaan manusia daripada zaman dahulu lagi sering keluar dan pergi kesana
kemari. Manusia zaman sekarang pun keluar bahkan lebih banyak daripada orang
zaman dahulu. Cuma tujuannya mungkin berbeza.
"Seorang yang berakal tidak pergi atau keluar kecuali untuk tiga tujuan;
mencari bekal untuk hari kesudahan, memperbaiki mutu kehidupan dan mencari
keseronokan dalam perkara yang halal". Ucap baginda menceritakan antara
kandungan yang menarik terdapat dalam Suhuf Ibrahim a.s.
Pesanan Allah dalam Suhuf Ibrahim ini terasa masih segar walaupun telah
beribu tahun ia diturunkan. Demikian kebenaran yang bersandar dari langit
hakikatnya tidak lapuk dek masa dan tak lusuh dek hujan. Ia amat releven
untuk sepanjang masa.
Cerita Rasulullah s.a.w ini amat menarik sekali. Abu Zar mendengarnya dengan
tekun dan mengahafalnya dengan teliti. Beliau tidak sedikit pun cuba
mencelah percakapan Rasulullah s.a.w sehingga baginda habis berbicara.
dipetik dari halaman :
www.massej.com
|