NASIONALISME
DAN BAHAYANYA
Oleh Ustaz Zulkifli Bin Hj.Ismail
Kaherah, Mesir.
MUQADDIMAH
Semenjak
kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air
Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan
Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang
melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah
ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan
fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan
bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin
di zaman ini. Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan
telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal
dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah
s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih.
PENGERTIAN
NASIONALISME
Di dalam
menerangkan pengertian nasionalisme, Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia
America menyebut:
Loyalty and
devotion to the state such that national interest are placed above individual
or global interest. It originates from the assumption that nations are
the primary focus of political allegiance. In the religious context, for
example: the focus of allegiance would be a supranational group such as
Christendom or Christian community. Modern phenomena.
Takrif ini
menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan
dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan
negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan
kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini
adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik
adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir
politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah
satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan
sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan
masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan
pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.
Dengan kata
lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang
menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan
di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja
Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular
yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber
agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya
adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan
bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.
PERCANGGAHAN
NASIONALISME DENGAN AGAMA ISLAM
Daripada
kesedaran kita mengenai hakikat sebenar fahaman kebangsaan itu maka nyatalah
kepada kita percanggahan yang tidak dapat dielakkan di antara ideologi
nasionalisme dengan ajaran-ajaran yang terdapat di dalam syariat Islam.
Ia adalah percanggahan-percanggahan yang menuntut setiap Muslimin agar
menolak sepenuhnya fahaman tersebut daripada diamalkan di dalam sebuah
masyarakat beragama Islam. Ia adalah percanggahan yang lahir akibat daripada
tabiat Islam sebagai sebuah ajaran yang berjuang untuk menyatukan manusia
di atas asas pengabdian kepada Allah s.w.t. semata-mata dan di atas asas
menegakkan keadilan Tuhan di dunia ini. Secara asasnya percanggahan tersebut
bolehlah dibariskan kepada empat bahagian seperti berikut:
(1) Ia adalah
fahaman yang membina penyatuan manusia di atas asas menerima pensyarikatan
yang berlaku di kalangan manusia terhadap ketuhanan Allah s.w.t. di alam
ini. Ia dengan itu adalah penyatuan yang tidak menjadikan kepentingannya
membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepada membulatkan
kehambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyatuan yang meredhakan kekufuran
seperti ini adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya
di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ankabut ayat 25
yang berbunyi:
Dan berkata
Ibrahim: Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah s.w.t.
adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan
dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian
(yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan
tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tiada bagi kamu para penolong
pun.
(2) Ia adalah
fahaman yang membina kepentingan manusia di atas asas kepentingan di dunia
semata-mata dengan melupakan kepentingan kesejahteraan manusia di akhirat.
Kepentingan akhirat itu hanya dapat dicapai melalui ketaatan yang penuh
kepada segala perintah Allah s.w.t. yang telah disampaikan oleh RasulNya.
Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Israa' ayat 18 dan 19 yang berbunyi:
Barangsiapa
menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya
di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan
Kami tentukan baginya neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan
tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat
dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin,
maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
(3) Ia adalah
fahaman penyatuan yang bercanggah dengan syariat Islam yang berhubung
dengan hukum al-wala'. Yang dikehendaki dengan hukum al-wala' ialah ajaran
Islam yang melarang Muslimin daripada memberikan hak persahabatan, perlindungan,
kepimpinan, kasih sayang dan pertolongan kepada golongan kuffar dan musyrikin
dalam perkara yang menyalahi ketaatan kepada Allah s.w.t. atau di dalam
perkara yang menyalahi hak persaudaraan sesama Muslimin.
Dari sini
dapatlah difahami bahawa hukum wala' di dalam masalah kepimpinan bukanlah
semata-mata persoalan setakat memastikan kekuasaan mutlak tidak berada
di tangan golongan kuffar seperti yang difahami secara menyeleweng oleh
penulis buku "Permasalahan Agama dan Politik" tetapi ia sebenarnya
adalah persoalan memastikan bahawa orang-orang kafir tidak mendapat kuasa
yang boleh menghalang orang-orang Islam daripada melaksanakan ketaatannya
kepada Allah s.w.t. secara sempurna.
Di dalam
negara yang mengamalkan nasionalisme sekular pada hari ini kuasa yang
diberikan oleh perlembagaan negara kepada Muslimin adalah kuasa yang tidak
melibatkan kebebasan mereka melaksanakan hukum Allah s.w.t. atau dengan
kata lain ia adalah kuasa yang tidak menafikan kemestian orang-orang Islam
mentaati orang-orang kafir di dalam hukum dan peraturan ciptaan mereka.
Oleh itu persoalan para khalifah Islam yang terdahulu melantik dan memberi
ruang kepada orang-orang kafir menjawat beberapa jawatan negara tidaklah
boleh disamakan dengan corak pentadbiran negara sekular pada hari ini.
Pemberian jawatan kepada golongan kafir zimmi pada zaman itu adalah berlaku
di dalam suasana terlaksanya hukum Allah s.w.t. secara sempurna dan megah
dan tidak pula membawa kerugian kepada umat Islam.
Seterusnya
perlulah diingatkan mengenai kesesatan penulis tersebut yang cuba meletakkan
persoalan melantik orang-orang kafir di tanah air pada hari ini sebagai
termasuk di dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perlulah
difahami bahawa rukhsah di dalam Islam adalah digantungkan di dalam perkara
ketaatan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ia sama sekali tidak dibenarkan
dalam perkara maksiat dan mungkar seperti rukhsah yang difahami oleh penulis
buku tersebut kerana rukhsah seperti itu adalah rukhsah yang membuka jalan
untuk melakukan perkara yang amat mungkar iaitu menolak hukum Allah s.w.t.
yang wajib dilaksanakan di dalam negara yang merupakan syarat kerjasama
di antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam yang diletakkan oleh
penjajah. Menolak hukum Allah s.w.t. dan menggantikannya dengan hukum
ciptaan manusia adalah perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang daripada
Islam, firman Allah s.w.t. di dalam Surah As-Syura ayat 21 yang berbunyi:
Apakah mereke
mempunyai sembahan-sembahan selain Allah s.w.t. yang mensyariatkan untuk
mereka agama yang tidak diizinkan Allah s.w.t. .
Seterusnya
perlulah ditegaskan pula mengenai kesesatan penulis buku tersebut apabila
beliau meletakkan perkara memberi sebahagian kepimpinan umat Islam kepada
orang kafir sebagai termasuk di dalam taqiyyah yang dibenarkan oleh Islam.
Perlulah difahami bahawa hukum taqiyyah hanyalah dimaksudkan oleh syarak
sebagai rukhsah kepada orang perseorangan sahaja dan di dalam keadaan
yang berkait dengan paksaan sahaja. Ia tidak dibenarkan untuk menjadi
suatu kaedah umum yang boleh dipakai oleh umat Islam di dalam menghadapi
golongan kuffar kerana hal tersebut akan menghilangkan kewajipan hukum
jihad.
Adapun tindakan
seperti yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu yang membayar ufti kepada
kerajaan Siam itu dari sudut hukum syaraknya bukanlah termasuk di dalam
perkara taqiyyah tetapi ia adalah termasuk di dalam persoalan siasah syari'yyah.
Perlulah difahami dengan baik dan perlu dibezakan kedua perkara ini dengan
jelas supaya tidak diperbodohkan oleh penulis buku tersebut dan seumpamanya
daripada penyokong-penyokong fahaman sekular di tanah air.
Sesungguhnya
umat Islam perlulah memahami bahawa di dalam keadaan negara pada hari
ini Islam menjadikan jihad menurut peringkatnya sebagai kewajipan dan
jalan menegakkan semula kedaulatan Islam itu.
(4) Ia adalah
fahaman yang memusuhi usaha menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah di
zaman ini sebagai sebuah ikatan politik umat Islam yang berasaskan aqidah
dan syariat Islam. Kewujudan sebuah negara yang seperti ini adalah bercanggah
dengan fahaman nasionalisme sekular. Perlulah difahami bahawa dari sudut
sejarahnya gerakan fahaman nasionalisme di barat adalah bertujuan untuk
menolak pemerintahan gereja di benua Eropah dan fahaman nasionalisme ini
juga kemudiannya telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melahirkan
penentangan bangsa Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang membawa kepada
kelemahan dan kejatuhannya. Sesungguhnya menegakkan khilafah adalah wajib
menurut hukum Islam. Dalam hal ini Imam Nawawi Rahimahullah telah berkata
di dalam syarahnya kepada soheh Muslim dengan ucapan yang bermaksud:
"Para
ulamak telah ijmak di atas kewajipan muslimin melantik khalifah."
Mengenai
tugas khalifah itu pula antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh
Ibnu Hazmin di dalam kitab Muhalla. Beliau berkata:
"Hanya
sanya Imam itu dilantik adalah untuk menegakkan sembahyang di kalangan
manusia, memungut sedekah-sedekah mereka, melaksanakan hukum hudud mereka
dan melaksanakan hukum di kalangan mereka dan berjihad melawan musuh mereka."
MENOLAK
SYUBAHAT MENGENAI HAKIKAT ASSABIYYAH
Bagi melengkapkan
perbincangan risalah ini dan bagi menambahkan faedahnya maka perlulah
diberikan penjelasan mengenai hakikat assabiyyah dan hukumnya di dalam
Islam. Keperluan ini timbul sebagai menolak syubahat yang telah dikemukakan
oleh para pendokong fahaman nasionalisme sekular di zaman ini terhadap
pengertian assabiyyah. Mereka pertamanya telah menafikan nasionalisme
sebagai tergolong di dalam assabiyyah yang dimaksudkan di dalam keterangan
hadith. Keduanya mereka telah menyamakan nasionalisme yang dianuti oleh
kerajaan yang memerintah sebagai fahaman nasionalisme yang pernah diperjuangkan
oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah
hadith soheh yang bermaksud:
"Bukan
dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assabiyyah, bukan dari kalangan
kita orang yang berperang di atas dasar assabiyyah dan bukan dari kalangan
kita orang yang mati di atas dasar assabiyyah." (Riwayat Muslim)
Oleh itu
perlulah difahami bahawa kekeliruan ini adalah bertolak daripada tumpuan
yang berlebihan kepada pengertian assabiyyah dari sudut bahasa sebaliknya
melupakan pengertiannya dari sudut istilah menurut keterangan Rasulullah
s.a.w. sendiri. Perlulah difahami bahawa mengutamakan pengertian lughawi
dengan mengabaikan pemahamannya menurut keterangan Al-Quran dan Sunnah
atau pemahaman para salafus soleh bagi sesuatu kalimah yang terdapat di
dalam nas-nas syarak adalah merupakan cara perjalanan ahlul bidaah sepanjang
zaman.
Di dalam
pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pemahaman sesuatu kalimah syarak mestilah
dicari terlebih dahulu di dalam penjelasan Allah s.w.t. dan rasulNya dan
para salafus soleh. Apabila telah tidak didapati barulah pegertiannya
itu disandarkan kepada perbahasan lughawi. Di dalam hal ini pengertian
assabiyyah telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri di dalam hadith
baginda yang bermaksud:
"Assabiyyah
itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."
Di dalam
pengertian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini, baginda telah mengikat
pengertian assabiyyah kepada membantu di atas dasar kezaliman. Penjelasan
Rasulullah s.a.w. yang amat bijaksana ini adalah menepati dengan tabiat
kesungguhan Rasulullah s.a.w.. Baginda telah menjelaskan pengertian assabiyyah
itu dengan cara yang mendidik manusia kepada perubahan di dalam hidupnya
kerana Islam tidak memandang sebarang faedah kepada perkataan yang tidak
membawa kepada taat dan amal. Jawapan baginda yang bersifat tarbawi dan
sentiasa mempunyai aspek amali yang mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t.
adalah menjadi didikan Allah s.w.t. kepada baginda. Firman Allah s.w.t.
di dalam Surah Al-Baqarah ayat 189 yang berbunyi:
Mereka bertanya
kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah
tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) Haji."
Manakala
mengertikan assabiyyah dengan membahaskan maksud bahasanya adalah merupakan
penyelewengan daripada pentakrifan Rasulullah s.a.w. dan mengandungi sejenis
kegelapan dan kebodohan. Marilah kita bertanya adakah Rasulullah s.a.w.
hendak mengajarkan kepada umatnya dari hadith tersebut mengenai kabilah
arab? Tidak, tetapi Rasulullah s.a.w. ingin mengajarkan kepada umat baginda
mengenai kewajipan meninggalkan kezaliman dan bahawa risalah Islam yang
dibawa oleh baginda adalah memerangi kezaliman di dalam segala bentuknya,
samada berbentuk fahaman, ajaran, syiar, budaya mahupun ikatan. Rasulullah
s.a.w. ingin membentuk umat baginda sebagai umat yang bersih daripada
kezaliman dan berjihad membebaskan manusia di dunia ini daripada kezaliman
sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisaa'
ayat 75 yang berbunyi:
Mengapa kamu
tidak mahu berperang di jalan Allah s.w.t. dan (membela) orang-orang yang
lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa:
"Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim
penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami
penolong dari sisi Engkau. Orang-orang yang beriman berperang di jalan
Allah s.w.t. dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab
itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan
itu adalah lemah.
Apabila kita
telah memahami bahawa assabiyyah itu ialah menolong bangsanya di atas
dasar kezaliman maka pada ketika itu adalah jelas kepada kita bahawa fahaman
nasionalisme sekular yang mempertahankan undang-undang sekular dan menolak
undang-undang Allah s.w.t. yang diliputi oleh keadilan dari segenap sudut
dan sisinya itu adalah fahaman yang benar-benar tergolong di dalam maksud
hadith tersebut. Bahkan perlulah dinyatakan bahawa kezaliman yang menjadi
tabiat fahaman nasionalisme moden itu adalah beratus kali ganda daripada
kezaliman yang berlaku di dalam kabilah-kabilah Arab.
Kezaliman
kabilah-kabilah Arab itu adalah berlaku kerana terlalu melebihkan keturunan
mereka di dalam segala perkara, manakala kezaliman nasionalisme moden
adalah kerana menyekutukan Allah s.w.t. S.W.T. di dalam salah satu daripada
sifat UluhiyyahNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-An'am ayat 115-116
yang berbunyi:
Telah sempurna
kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak
ada yang dapat merubah kalimat-kalimatNya dan Dialah yang Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui.
Firman Allah
s.w.t. S.W.T. lagi di dalam Surah Al-Maidah ayat 45:
Barangsiapa
tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t.,
maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.
Firmah Allah
s.w.t. di dalam Surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:
Sesungguhnya
mempersekutukan (Allah s.w.t. ) adalah benar-benar kezaliman yang besar.
Seterusnya
bagi menolak syubahat yang kedua kita perlulah memahami terlebih dahulu
kaedah penting yang dipakai oleh para ulamak Islam bermaksud "Sesuatu
hukum itu adalah digantungkan kepada kefahaman". Memahami kaedah
ini adalah amat perlu untuk melahirkan hukum yang tepat kepada mereka
yang kelihatan mengamalkan sesuatu bidaah yang bercanggah dengan syariat
Islam. Ia juga adalah amat penting untuk menjadi asas bagi mengetahui
fahaman sebenar ulamak-ulamak Islam yang kelihatan memakai syiar-syiar
golongan kuffar. Bertolak dari kaedah inilah Al-Allamah Syeikh Said Hawwa
telah berkata:
"Bahawa
setiap syiar yang memalingkan manusia dari mengambil jalan Allah s.w.t.
S.W.T. sebagai maksudnya dan sembahannya adalah syirik. Dengan ingatan
bahawa hukum ke atas seseorang dengan kekufuran atau syirik akbar adalah
memerlukan kepada fatwa yang mendalam dari ahli fatwa kerana ihtimal bahawa
di sana terdapatnya niat-niat yang tersembunyi yang mungkin membawa kepada
peringanan hukum ke atas pengamalnya, seumpama ia menanggung lafaz-lafaz
tersebut di dalam masalah ini di atas wajah yang menepati iktiqad yang
betul."
Dengan kefahaman
ini adalah jelas bahawa penulis buku Minda Melayu Baru menyamakan perjuangan
nasionalisme Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Haji Agoes Salim dengan perjuangan
nasionalisme UMNO adalah tidak benar kerana nasionalisme Melayu yang diperjuangkan
oleh kedua-dua ulamak tersebut tidak melibatkan penolakan terhadap hukum
Allah s.w.t. S.W.T. seperti UMNO. Ia adalah suatu penyamaan yang terburu-buru
dan sebagai fitnah terhadap ulamak-ulamak Islam yang wajib ditolak. Semoga
dengan penjelasan terhadap syubahat-syubahat ini akan dapat membuka kepada
kita hakikat kesesatan nasionalisme itu tanpa sebarang keraguan lagi menurut
timbangan syariat Islam. WAllahu A'lam wa Huwa yahdis Sabil.
Firman Allah
s.w.t. di dalam Surah Al-Insan ayat 29-30 yang berbunyi:
Sesungguhnya
(ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barangsiapa menghendaki
(kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan
kamu tidak menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali bila dikehendaki Allah
s.w.t. . Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
PENUTUP
Sesungguhnya
tidak ada jalan untuk melepaskan umat Islam di zaman ini seluruhnya daripada
kesesatan beramal dengan fahaman nasionalisme selain daripada berusaha
mendedahkan kepada umat Islam hakikat kesesatan fahaman kebangsaan atau
nasionalisme itu sebagaimana juga segala ideologi kebendaan yang lain
secara menyeluruh dan merata melalui kuliah-kuliah yang disampaikan di
masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok dan segala saluran pengajian
agama di tanah air. Risalah ini hanyalah suatu pengenalan yang amat ringkas
tetapi sebagai amaran yang amat keras kepada Muslimin mengenai ancaman
bahaya fahaman nasionalisme kepada kesejahteraan mereka di dunia dan di
akhirat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan risalah ini bermanfaat kepada
penulis dan sekelian Muslimin. Amin.
Oleh Al-Faqir
ila Rabbihi
Abu Abdul Halim
Kaherah, Mesir.
|