| Oleh: Khalid Jaafar SAYA
dipelawa untuk menulis untuk surat kabar Cina. Bagi saya ini adalah suatu
yang menyeronokan. Namun ia bukanlah suatu yang mudah.
Selama ini saya menulis dalam bahasa Melayu dan mereka yang membaca
tulisan-tulisan saya adalah 90 peratus orang Melayu. Mungkin lebih dari itu.
Sekarang saya akan menulis untuk orang Cina. Apa yang akan saya tulis, dan
bagaimana?
Cara yang paling mudah bagi saya untuk memulakan ruangan ini adalah
dengan menceritakan pencarian saya untuk memahami apa itu kecinaan atau
penerokaan saya untuk memahami minda Cina.
Menurut hemat saya, di Malaysia orang Cina lebih berminat untuk mengetahui
minda Melayu. Mungkin kerana kedudukan Melayu dalam politik dan kekuasaan.
Tetapi orang Melayu kurang berusaha untuk memahami minda Cina.
"Orang Cina suka menipu"
Kerana tidak ada usaha ilmiah dan rasional untuk memahami minda Cina maka
persepsi Melayu terhadap sikap orang Cina diselubungi oleh prasangka. Antara
prasangka yang paling meluas adalah: “Orang Cina suka menipu.” Saya pernah
mendengar alas an seorang bapa mengapa menghantar anaknya ke sekolah Cina.
Katanya, “supaya bila besar nanti tidak ditipu oleh Cina.”
Melayu juga menganggap perpecahan di kalangan orang Cina itu olok-olok
sahaja. MCA, Gerakan dan DAP akan bersatu untuk menjaga kepentingan kaum
Cina. Prasangka seperti ini meluas dalam wacana politik Melayu. “Melayu
jangan berpecah, kalau berpecah Melayu akan lemah dan akan hilang kuasa
politik.” Kita semua tahu siapa yang menggunakan hujah ini.
Saya selalu bosan dengan hujah perpaduan ini. Maka saya pernah menulis
satu rencana yang saya beri tajuk : “Elok Melayu Berpecah.” Sayang sekali,
rencana tersebut yang saya kira amat bernas sekali tidak mempunyai pengaruh
dan telah dilupakan.
Perpecahan selalu dilihat dengan negatif. Perpecahan kadang-kadang ada
juga baiknya kerana memberikan kemungkin-kemungkin baru pada masyarakat
membuat eksperimen dalam kehidupan sosial dan pemikiran. Ada bidalan Melayu
yang berbunyi: “Kalau tidak dipecah ruyung mana akan dapat sagunya.” Dan ada
juga pepatah Inggeris yang bermaksud: “Kalau tidak dipecahkan telur omelette
tidak boleh dibuat.”
Benua Eropah suatu masa dulu bersaya di bawah pemerintahan yang dikenali
sebagai Holy Roman Empire. Tetapi perpaduan itu pecah maka lahirlah
negera-negara Eropah seperti yang ada sekarang. Tidak ada orang Jerman,
Perancis atau Italy hari ini yang mahu kembali kezaman seperti Holy Roman
Empire.
Bahkan kita tidak boleh memikirkan Eropah dan Barat mencapai tahap
sekarang, iaitu dari segi perkembangkan pemikiran, falsafah, sains dan
kemajuan politik tanpa perpecahan. Apakah perpecahan itu syarat untuk
mencapai kemajuan? Ini adalah satu tesis besar yang memerlukan kupasan
panjang lebar dan mendalam.
Saya perlu membaca lebih banyak buku tentang tamadun, kebudayaan dan
falsafah Cina kerana selama ini saya tidak banyak membaca buku-buku tentang
tamadun Cina berbanding dengan pembacaan saya tentang tamadun Islam dan
Barat. Tetapi dalam penerokaan saya tentang minda Cina saya terserempak
sesuatu yang unik.
Kesatuan Cina
Cina satu-satunya tamadun yang berjaya mengekalkan kesatuan geografinya.
Tamadun Yunani dan Rom yang menjadi asas kepada tamadun Barat tidak dapat
mengekalkan kesatuan wilayahnya. Kotaraya-kotaraya yang menampilkan kekuatan
ekonomi dan kreativiti tamadun Barat kini bukan Athen atau Rom. New York,
Paris, London dan Munich – inilah jatung-jantung kebudayaan Barat hari ini.
Kotaraya Islam yang pertama adalah Madinah. Apabila kekuasaan politik
berpindah kepada keluarga Bani Umayyah kota pentadbiran dipindahkan ke
Damsyik (Damascus) di Syria. Apabila Bani Umayyah ditumbangkan oleh keluarga
Bani Abbas dan membentuk dinasti Abassiah kota pemerintahan dipindahkan ke
Baghdad.
Dinasti dan empayar Islam yang terakhir, dinasti Uthmaniah, dimansuhkan oleh
pemimimpin Turki Moden Mustafa Kemal dalam tahun 1924, menjadikan Istanbul
sebagai pusat pemerintahan. Islam pernah memerintah Sepanyol selama 300
tahun. Tetapi wilayah tersebut tidak dapat dikekalkan sebagai sebahagian
dari dunia Islam.
Nasib tamadun Islam sama lebih kurang dengan tamadun Barat. Wujud konsep
kesatuan tamadun Barat dan kesatuan tamadun Islam. Bahkan wujud nostalgia
terhadap kesatuan tersebut. Dan nostalgia ini lebih mendalam dikalangan
orang Islam.
Nostalgia terhadap kesatuan tamadun dan dunia Islam ini menjadi beban kepada
umat Islam sehingga menjadikan mereka belum sepenuhnya berdamai dengan
realiti Negara bangsa. Maka wujud gerakan, meskipun amat kecil, untuk
menghidupkan kembali khalifah Islam global.
Nasib Tamadun Islam
Mengapakah tamadun Cina dapat mengekalkan kesatuan wilayahnya? Tamadun
Islam hari ini bertaburan dengan entiti-entiti bernama Indonesia, Arab
Saudi, Pakistan, Iraq, Malaysia, Palestin, Turki dan lain-lain. Tamadun
Barat hanya tinggal pada semangat dan nilai. Tetapi kekuatan politiknya
berpecah-pecah kepada Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, United Kingdom,
Italy, Poland dan lain-lain.
Tetapi sejak Qin Shi Huang menyatukan China dan menjadi maharaja pertama,
dan dinasti Qin digantikan dengan dinasti Han Negara Cina mengekalkan
kesatuan geografinya. Dinasti silih berganti namun Cina kekal kehari ini.
Tidak ada negara baru yang muncul yang berpisah dari negara asal. Saiznya
mungkin berubah-rubah. Tetapi wilayah utamanya kekal. Ini adalah satu
misteri kepada saya.
Saya sering mengajak kawan-kawan Melayu saya untuk melihat ke Utara – Ke
Cina. Tetapi kawan-kawan saya lebih berminat untuk melihat ke Timur Tengah –
ke Palestin. Bolehkah umat Islam belajar tentang perpaduan dan kesatuan
dari Palestin? Palestin adalah contoh bagi umat Islam bagimana untuk
berpecah, bukan untuk bersatu. Dan perpecahan tersebut adalah perpecahan
yang menghancurkan, bukan perpecahan yang kreatif.
Umat Islam perlu keluar dari kepompongnya dan melihat keluar. Mereka
perlu bersedia untuk belajar dari orang kafir. Suatu ketika dulu umat Islam
belajar flasafah dan sains dari orang Yunani, orang Parsi dan India. Umat
Islam semasa telah banyak belajar dari Barat.
Sekarang Cina sedang bangkit semula. Cina sudah bangkit sebagai kekuatan
ekonomi. Dan saya yakin Cina akan bangkit semua sebagai kekuatan politik,
ketenteraan dan kebudayaan. Bagaimana umat Islam dan orang Melayu dapat
berhadapan dengan kebangkitan ini tanpa mengetahui minda Cina? Dan umat
Islam masih melupakan sabda nabi mereka: “Tuntutlah ilmu hingga ke Negeri
Cina.”
Penulis merupakan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) dan
ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR. Rencana ini pertama kali disiarkan di
dalam akhbar Orientel Daily- Pengarang. - Dipetik dari Laman Web
www.klpos.com |