Assalamualaikum warahmatullah,
Terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan dalil oleh Syiah al-Rafidhah
bahawa 12 imamah mereka adalah para imam yang ditakdir atau diramalkan
oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Berikut adalah kupasan ringkas saya terhadap hadis ini. Ia asalnya
merujuk kepada perbincangan saya dengan seorang ahli Mazhab Ahl al-Bait di
forum Fikrah Net. Sengaja saya panjangkan kupasan ini kepada lain-lain
forum supaya sama-sama kita ambil manfaat daripadanya.
LAFAZ HADIS:
Hadis ini memiliki beberapa lafaz. Berikut 3 lafaz pertama yang
dikemukakan oleh O.Hashem, seorang tokoh Syi'ah Indonesia dalam bukunya
"Syiah Ditolak Syiah Dicari", ms 301-302:
[1] "Agama (Islam) akan selalu tegak kukuh sampai tiba saatnya atau
sampai berlalu 12 khalifah, semuanya dari Quraisy." [HR Muslim]
[2] "Akan ada 12 amir (pemimpin)" Berkata Jabir (perawi hadis): "Dan
kemudian beliau bersabda dengan kalimat yang tidak aku fahami. Ayahku
berkata: "Semuanya dari orang Quraisy." [HR al-Bukhari]
[3] "Urusan (amr, administrasi, pemerintah) umat ini akan selalu kukuh
dan akan mengatasi musuhnya sampai berlalu 12 khalifah, semuanya orang
Qurasiy. Sesudah itu timbul kekacauan." [Hadis nukilan al-Hindi dalam Kanz
al-Ummal]
DARJAT HADIS:
Hadis ini sahih, khasnya 2 yang pertama yang dikeluarkan oleh al-Bukhari
dan Muslim dalam kitab sahih masing-masing.
MAKSUD HADIS:
Antara cara memahami hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ialah meletakkanya
terlebih dahulu dalam kategorinya. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. terbahagi
kepada beberapa kategori:
[1] Kategori Iktikad.
Ini ialah hadis-hadis berkenaan aqidah (iktikad) seperti sifat Allah,
alam sebelum kehidupan, azab kubur, alam ghaib, Hari Akhirat dan
sebagainya. Kewajipan kita terhadap hadis-hadis ini ialah "Kami dengar dan
kami taat" tanpa melibatkan akal untuk menentukan benar atau salahnya.
[2] Kategori Hukum.
Ini ialah hadis-hadis yang melibatkan hukum-hukum syari'at seperti
wudhu', solat, haji, kanun jenayah dan sebagainya. Kewajipan kita ialah
melaksanakannya dengan memerhatikan perbezaan antara hadis yang melibatkan
(1) antara manusia kepada Allah dan (2) antara manusia sesama manusia.
[3] Kategori al-Targhib wa al-Tarhib.
Ini ialah hadis-hadis yang menganjurkan sesuatu kebaikan dan memberi
ancaman/peringatan kepada sesuatu keburukan. Termasuk dalam kategori ini
ialah hadis-hadis keutamaan beramal dan kemuliaan sahabat. Kategori ini
wujud sebagai "penyambung" kepada kategori hadis-hadis hukum di atas.
[4] Kategori ramalan.
Ini ialah hadis-hadis yang merupakan ramalan-ramalan Rasulullah s.a.w.
kepada perkara-perkara yang akan terjadi selepas kewafatan baginda.
Hadis-2 sebegini juga dikenali sebagai "Hadis Akhir Zaman". Malang sekali
ramai umat Islam yang memahami secara negatif hadis-2 dalam kategori ini.
Dalam buku "Kaedah Memahami Hadis-hadis Musykil", ms 150, saya menulis:
Hadis-hadis akhir zaman ialah hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi
wasallam yang menerangkan suasana dan keadaan umat selepas zaman baginda,
khasnya kepada zaman yang menghampiri Hari Kiamat. Hadis-hadis akhir zaman
yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam adalah antara
himpunan hadis yang paling disalah ertikan oleh umat termasuk para
cendekiawannya. Difahami kononnya Rasulullah telah meramalkan suasana
keadaan umat yang serba mundur dan hina ditimpa kezaliman dan fitnah.
Dengan itu umat hanya perlu duduk dan menerima apa sahaja yang menimpa
mereka kerana hal ini telahpun diramalkan ? atau ditakdirkan ? oleh
Rasulullah. Sebenarnya hadis-hadis akhir zaman ini boleh difahami dari dua
sudut. Yang pertama adalah dari sudut negatif sebagaimana yang digambarkan
di atas. Yang kedua adalah dari sudut positif, iaitu bahawa hadis-hadis
akhir zaman tersebut sebenarnya bertujuan memperingatkan umat akan
pelbagai cabaran, rintangan dan perubahan yang akan mereka hadapi selepas
kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu hendaklah
mereka mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan alat untuk
menghadapinya. Pemahaman yang kedua inilah yang merupakan pemahaman yang
benar kerana adalah sangat tidak mungkin Rasulullah sallallahu 'alaihi
wasallam selaku seorang Rasul pembawa Rahmat akan meramalkan sesuatu yang
menjauhi sifat Rahmat tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala (maksudnya):
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk
menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiyaa' 21:107] Yusuf al-Qardhawi
menulis:
Adalah sungguh menyedihkan apabila kebanyakan hadis yang berkaitan
dengan akhir zaman atau yang dinamakan sebagai hadis-hadis "fitnah" dan
tanda-tanda Kiamat difahami oleh sebahagian manusia dengan pemahaman yang
mengajak kepada putus asa daripada melakukan usaha pembaikan dan perubahan.
Tidak dapat digambarkan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam
akan mengajak umatnya untuk berputus asa dan kecewa, membiarkan kerosakan
menguasai masyarakat, kemungkaran menjalar di tengah-tengah tulang
belakang masyarakat tanpa perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan
kesilapan atau membaiki kerosakan.
Tidak masuk akal bahawa akan timbul daripada pembawa petunjuk umat ini
kata-kata yang akan meruntuhkan semangat untuk membaiki dan kehendak untuk
merubah keadaan yang tidak baik. [Yusuf al-Qaradhawi ? Petanda-petanda
Kemenangan Islam (terj: Juanda Jaya; Maktabah al-Qardhawi, Bandar Baru
Bangi 1999), ms 38 & 121.]
Sekian.
Bagi saya, hadis-hadis dalam kategori "ramalan" ini lebih tepat disebut
sebagai hadis "motivasi" kerana ia sebenarnya berperanan memberi motivasi
kepada mereka yang mencarinya.
Hadis 12 khalifah termasuk dalam kategori ke-4 ini. Ia adalah hadis
ramalan, atau di sisi saya: Hadis Motivasi.
MOTIVASI BAGAIMANA YANG DIMAKSUDKAN ?
Umpamakan sebuah syarikat di mana pihak pengurusannya mengumumkan
bahawa bagi setiap tahun akan dipilih seorang "Employer of the Year."
Employer ini akan dipilih daripada mereka yang berdisiplin, jujur,
berhikmah dan lain-lain sifat terpuji.
Atas pengumuman ini, para pekerja syarikat akan bekerja keras supaya
mereka terpilih menjadi "Employer of the Year" tersebut. Bagi pihak
pengurusan pula, tujuan diadakan pemilihan ini adalah sebagai satu bentuk
memberi motivasi dan penghargaan kepada pekerja yang benar-benar komited.
Ini akhirnya akan memberi manfaat kepada syarikat itu sendiri. Sesiapa
yang lazim membaca buku dan/atau menghadiri kursus leadership dan
management akan lebih memahami hal ini.
Demikianlah juga bagi hadis 12 khalifah yang menjadi perbincangan kita
sekarang ini. Tujuan baginda bersabda sedemikian adalah sebagai pemberi
motivasi kepada umat secara umum dan para khalifah secara khusus supaya
mereka menepati ciri-ciri 12 khalifah yang baginda sebutkan.
Sengaja baginda tidak menyebut nama khalifah tersebut kerana ini akan
menghilangkan nilai motivasi hadis. Sengaja baginda menyebut angka 12
supaya umat sentiasa dimotivasi untuk memenuhi keseluruhan jumlah tersebut
dari saat baginda wafat sehingga saat Hari Kiamat.
Terdapat beberapa hadis yang lain yang seumpama di mana baginda tidak
menyebut nama atau masa. Beberapa yang sempat saya ingat saat ini:
[1] "Sesungguhnya Allah akan mengutus bagi umat ini pada awal setiap
100 tahun seorang yang memperbaharui agamanya." [HR Abu Daud dan
disahihkan oleh al-Albani]
Perhatikan bahawa tidak disebut nama siapakah orang tersebut.
[2] "Masa kenabian akan berlangsung pada kalian dalam beberapa tahun.
Kemudian Allah mengangkatnya. Selepas itu datang masa kekhalifahan atas
manhaj kenabian selama beberapa masa sehingga Allah mengangkatnya.
Kemudian datang masa kerajaan (mulk) yang buruk selama beberapa masa,
selanjutnya datang masa kerajaan diktator selama beberapa masa, hingga
waktu yang ditentukan Allah.
Selepas itu akan berulang kekhalifahan atas manhaj kenabian. Kemudian
Rasulullah diam." [HR Ahmad dan al-Thabarani, berkata al-Haitsmani, para
perawi al-Thabarani (tsiqah) terpercaya]
Perhatikan bahawa bila dan siapa yang akan memerintah sebagai khalifah
bermanhaj kenabian tidak disebut oleh baginda.
[3] "Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah
yang baik itu pada awalnya atau akhirnya." [HR al-Bukhari]
Perhatikan tidak disebut bilakan masa kebaikan dan keburukan tersebut.
Dalam hadis-hadis di atas, sengaja baginda Nabi s.a.w. membiarkan ia "terbuka"
supaya umat berusaha memenuhinya. Ia berperanan sebagai pemberi motivasi
kepada sesiapa yang mahu mencarinya.
TAFSIRAN PARA ULAMA AHAL AL-SUNNAH YANG TERDAHULU
Memandangkan Rasulullah s.a.w. tidak menyebut siapakah 12 khalifah
tersebut "by name", pasti sahaja ia akan menimbulkan tafsiran yang
berbeza-beza di kalangan para ilmuan berkenaan siapakah yang dimaksudkan.
Masing-masing memberi pilihan nama yang menurutnya adalah yang paling
tepat.
Namun di dalam perselisihan ini terdapat 2 persetujuan, iaitu:
[1] Secara umumnya diperkatakan bahawa terdapat 4 khalifah yang "menghampiri"
tujuan atau maksud hadis. Mereka ialah Abu Bakar, 'Umar, 'Utsman dan 'Ali,
radhiallahu 'anhum.
[2] Namun 4 khalifah tersebut bukan mutlak dimaksudkan oleh hadis
kerana "Apa yang dibiar terbuka oleh Rasulullah tidak boleh ditutup oleh
manusia." Ini adalah lanjutan daripada kaedah usul "Setiap nas hendaklah
diambil dalam bentuknya yang asal melainkan wujud petunjuk yang mengubah
bentuk asal tersebut."
TAFSIRAN SYIAH AL-RAFIDHAH
Aliran Syiah al-Rafidhah menafsirkan hadis 12 khalifah di atas sebagai
merujuk kepada 12 imam mereka, bermula daripada 'Ali r.a. hingga ke imam
12 yang ghaib.
Ahl al-Sunnah menolak tafsiran ini. Daripada 12 imamah Syiah al-Rafidhah,
hanya 'Ali seorang yang menepati tujuan atau maksud hadis. Lain-lain para
imam Syiah al-Rafidhah tidak termasuk sama kerana:
[1] Mereka tidak pernah menjadi khalifah ke atas umat Islam. Bahkan
dalam pelbagai riwayat lain mereka menolak jawatan khalifah atau "imam"
yang dinobatkan kepada mereka.
[2] Mereka tidak pernah dapat mengukuhkan kedudukan Syiah al-Rafidhah,
apatah lagi "mengatasi musuh" sebagaimana lafaz hadis yang ketiga di atas.
Oleh itu tidak seorang jua daripada 12 imamah Syiah al-Rafidhah yang
menepati tujuan atau maksud hadis di atas kecuali 'Ali radhiallahu 'anh.
Sekian, wassalam.
Hafiz Firdaus.

Kad Kredit |
Kisah Wahyu Terakhir | Solat | Hudud |
Saat Kematian | Sekular |
Menu
Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat
zubir@pc.jaring.my