| |
Bacaan yasin
Umat Islam di Malaysia
umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan
mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali
selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini
diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin
pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas
bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam
keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya
dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan
sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak
diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah
tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia
masakini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat
adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini
hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau
sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan
as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada
sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang
tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan
membazirkan masa dan memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah
Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat
pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu
Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa
apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di
akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan
Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah
Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja
dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan
harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah
s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang
dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk
menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban.
Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca
Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan
tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di
bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca
Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak
amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk
amalan penduduk nusantara ini!
'Solat Sunat' Nisfu
Syaaban
Firman Allah
(mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah
sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi
agama untuk kamu."
[al-Maa’idah 5:3].
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang
menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang
undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?"
[al-Syur.a 42:21]
Dalam
kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa
Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "barangsiapa
mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang
mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”
Dalam
Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w)
bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku
dan Sunnah para Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah
padanya... Berwaspadalah terhadap perkara yang baru
diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan
setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi
ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya.
Ini
jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama
umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan
tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai
menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan
menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan
Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda
s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka
selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang
kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan
kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun
ia berniat baik.
Para
Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para
salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya,
sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung
Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah,
al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara
amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari
pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan
menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil)
yang boleh dipercayai tentang puasa ini.
Ada
beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini,
tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis
diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban
kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana
telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita
akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.
Beberapa
riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian
ulama salaf di Syria dan
lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban
adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat
berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar
yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang
memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam
kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis
dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan
ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada
asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu
hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.
Prinsip
asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas
Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama
(rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud
perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada
Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan
yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah
syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati
bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu
sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam
kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak
dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain
melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana
Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah
kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian
jika kamu
berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab)
Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik
(bagi kamu) dan lebih elok pula
kesudahannya."
[al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai
Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka
hukum pemutusnya terserah kepada
Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku
berserah diri dan kepadaNyalah aku
rujuk kembali (dalam
segala keadaan).”[al-Shura 42:10].
“Katakanlah (wahai
Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu
dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha
Mengasihani.”
[Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka demi
Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak
disifatkan beriman sehingga
mereka menjadikan engkau hakim
dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,
kemudian mereka pula tidak merasa
di hati
mereka sesuatu keberatan dari
apa yang telah engkau
hukumkan dan mereka menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya.”
[al-Nisa’ 4:65]
Banyak
lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas,
yang menyatakan dengan jelas
bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan
Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi
daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan
inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat:
“Yang
demikian adalah lebih
baik (bagi
kamu) dan
lebih elok
pula kesudahannya”
[al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya]
maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz
bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if
al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara
panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh
golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid
bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana
mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang
awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana
perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar
riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam
tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan
riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin
Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli
Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan
lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam
Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang
(adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa
sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih
daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah
apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A).
Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung
riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada
Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban
(pertengahan bulan Syaaban).
Dalam
keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara
itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk
mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah
ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada
dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud
umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa
sahaja amalan yang bukan sebahagian
daripada urusan kita
ini [Islam], amalan itu akan tertolak.”
Banyak lagi dalil yang
menegaskan bahawa bid’ah
mesti ditegah dan
memerintahkan agar menjauhinya.
Imam
Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith
wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam
berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan
ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada
Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian
kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam
tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain.
Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad
an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban
adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab,
“Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu
di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu).
Ziyad seorang pereka cerita.”
Al-Shaukani
(R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang
berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di
Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul
Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali,
Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’
(rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas
ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan
tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’
ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis
ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga
diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah
direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak
diketahui asal-usulnya).
Di dalam
kitab
al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang
solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis
Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “
Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah
malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” –
adalah dhaif (lemah).
Di
dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di
pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di
setiap rakaat… (hadis ini) adalah
maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya
adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya
lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali
setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas
(rakaat), juga adalah maudhu’.
Beberapa
orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya
pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama
mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan
Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya
adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz
al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan
Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap
Rasulullah s.a.w.”
Imam
al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang
dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua
belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat
pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu
Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini
adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak
tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’
‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam
kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga
tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah
keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang
menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat),
kerana dalam hal ini mereka tersilap.”
Sheikh
al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi
telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang
membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan
jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan
hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik
keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini,
tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan
apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang
mencari kebenaran.
Daripada
ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik
di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan
bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau
dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan
puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh
jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam
yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang
diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat
(radhiallahu `anhum).
Amat
memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah
(mafhumnya):
“Pada
hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah
5:3]. dan beberapa ayat yang
seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama)
kita ini yang
(pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan
diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam
Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata:
“Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam
Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang
hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu
adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan
berterusan berterusan.’”
Seandainya
dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan
ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang
paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang
paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan
dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.
Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan
malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah
lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk
sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang
Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.
Oleh kerana telah disyariatkan untuk
memenuhi malam
Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan
bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan
menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut.
Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam
al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan
mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang
telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr
dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala,
Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk
mengkhususkan
malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di
bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan
meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang
khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar
umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika
pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti
akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat
terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan
daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang
terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu
`anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah
s.a.w.
Sekarang kita telah membaca
sendiri kata-kata
ulama
yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada
Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan
kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam
pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut
hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke
dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan
ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.
Samalah juga dengan
sambutan
malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan
oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak
dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu,
atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik
di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah
diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar
adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui!
Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua
puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang
tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang
itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan
para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang
diada-adakan.”
Kita memohon agar
Allah
membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh
kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya,
kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga
Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad
s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Ulasan dan terjemahan
: www.darulkautsar.com
[Dipetik
daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz,
2/882]
Jumaat
: 10/10/2003

Kad Kredit |
Kisah Wahyu Terakhir |
Solat |
Hudud |
Saat Kematian |
Sekular |
Menu
Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat
azubir@streamyx.com
|