Petikan Ucapan YAB Dato Seri Dr. Mahathir Ketika Merasmikan
Mesyuarat Agung Koperasi Pekan Rabu kali ke 38
pada 26 Julai 2001 di Hotel Holiday Villa, Alor Setar.

YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kerana menjemput beliau berucap serta merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad kali ke 38 pada pagi ini.  Beliau yakin Mesyuarat Agung ini dapat memberi perhatian kepada perkembangan Koperasi Pekan Rabu dan juga Pekan Rabu sendiri, begitu juga kepada kemajuan yang dicapai oleh peniaga-peniaga Pekan Rabu dan peniaga-peniaga Melayu keseluruhannya.

Kemajuan yang dicapai oleh Pekan Rabu dapat dilihat sedikit demi sedikit daripada asalnya dua bangsal berbumbung atap dibina di Tanjung Chali, berpindah ke Jalan Tunku Ibrahim dengan bangsal berbumbung zinc hinggalah sekarang ini mempunyai rumah batu berbumbung genting.  Nampak terserlah kemajuan sudah tercapai dari segi bangunan.  Soalnya ialah sama ada peniaga-peniaga sudah maju sama seperti bangunan-bangunan ini.

Dalam perniagaan, kita tidak boleh berpuas hati dengan kemajuan yang baru dicapai.  Kita mestilah selalunya hendak mencapai kemajuan yang lebih daripada itu.  Ini bukan sahaja peniaga di Pekan Rabu tetapi semua peniaga Melayu mestilah berusaha supaya perniagaan mereka tumbuh dan menjadikan lebih besar, baik dan lebih menguntungkan daripada perniagaan yang dimulakan oleh mereka.  Kita sudah lihat kaum bangsa lain juga demikian.  Perniagaan mereka semakin lama semakin maju.  Ada yang maju dengan pesatnya, ada yang maju dengan perlahan, tetapi kebanyakan daripada mereka maju. 

Kita dapati kaum Cina di Malaysia ini mencapai banyak kemajuan dalam bidang perniagaan.  Ada yang datang ke Malaysia sebagai kuli, hari ini menjadi billionair.  Tidak ada sebab peniaga-peniaga Pekan Rabu tidak maju.  Ada juga peniaga Pekan Rabu yang maju.  Dahulu jual goreng pisang, kayu bakau, cili dan macam-macam barangan, hari ini kita tengok sudah jadi Perdana Menteri Malaysia.  Kalau hendak maju, kenalah ubah sikap serta membaiki lagi cara menjalankan perniagaan  juga cara menguruskan kewangan.  Satu daripada kelemahan orang Melayu ialah tentang pengurusan kewangan.  Kadang-kadang dibelanja mengikut kehendak hati, perolehan atas jualan tidak disimpan dengan sempurna.  Oleh kerana itu ianya akan menimbulkan masalah baginya untuk membayar sewa kedai bulanan.  Memandangkan hakikat sedemikian, YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir  menasihatkan Koperasi Pekan Rabu supaya dapat mengutip sewa kedai dari ahli-ahlinya tiap-tiap hari.  Mungkin tidak akan membebankan peniaga-peniaga ini membayar sewa bulanan dan tidak adalah tunggakan sewa kedai lagi.   

Kita kena belajar mengurus kewangan dengan cara menahan nafsu daripada berbelanja kepada yang tidak berfaedah dan hendaklah mendisiplinkan diri serta belajar bagaimana hendak menyimpan sedikit daripada wang perolehan perniagaan harian.  Kebanyakan peniaga-peniaga  Melayu tidak dapat hendak berbuat demikian kerana tidak tahu ilmu simpankira. Peniaga-peniaga hendaklah menyimpan wang yang diperolehi itu untuk membayar sewa kedai, hutang-hutang yang ada dan untuk masa hadapan perniagaan.  Wang juga diperlukan untuk melabur bagi menambahkan modal. 

Kalau pendapatan jualan harian dibelanja semua sekali, tidak disimpan, sukarlah bagi seseorang peniaga itu untuk membayar apa-apa yang perlu dibayarnya.  Sebaliknya kalau diri sendiri dilatih bagi menyimpan sebahagian daripada wang hasil jualan hariannya itu maka tidaklah sukar baginya menangani apa-apa masalah bila sampai hujung bulan.  Kalau tidak pandai mengawal dan mendisiplinkan diri, seseorang peniaga itu tidak akan maju.  Merancang untuk memajukan diri dalam perniagaan adalah perlu.  Kalau perniagaan terus berkembang maju, maka peniaga itu dapat pula membuka satu lagi cawangan perniagaannya.  Hendaklah diingat bahawa sesuatu perniagaan yang baru dibuka itu bukan mestinya untung,   ianya akan mengambil masa untuk menuju ke arah keuntungan.  Kebersihan mestilah diutamakan baik dikedai maupun pakaian pekedai itu sendiri.  Ianya boleh menarik minat pelanggan berurusan dengannya.

Tapak Pekan Rabu yang ada sekarang cukup sesuai untuk orang Melayu menjalankan perniagaan.  Persekitarannya akan diubahsuai bagi menyerupai Bintang Walk di Kuala Lumpur.  Peniaga-peniaga dipinta supaya mengekalkan kebersihan persekitarannya apabila pengubahsuaiannya siap.  Barang-barang dagangan disusunatur supaya nampak elok dan menarik.  Pakaian peniaga juga perlu kemas dan bersih.  Bintang Walk adalah serupa seperti berniaga di tepi jalan juga, tetapi ianya ada keistimewaan tersendiri yang menarik minat orang ramai berkunjung ke situ walaupun tidak bertujuan membeli belah.  Ada yang berkunjung sebagai melepaskan penat lelah serta membasahi tekak dan ada pula hanya berpeleseran.  Orang-orang Arab yang ada di Kuala Lumpur suka berkunjung serta berjalan-jalan di tempat itu.  Ada kemungkinan bila persekitaran Pekan Rabu siap dibina pelancong-pelancong asing juga akan singgah untuk membeli belah di Pekan Rabu.  Sebab itulah YAB. Menteri Besar Kedah menyarankan supaya pekedai-pekedai Pekan Rabu juga turut belajar bahasa Inggeris dan juga Arab sesuai dengan perubahan yang akan dibuat di Pekan Rabu.

Jalan dikeliling Bangunan Pekan Rabu akan dipasang dengan batu-batu yang berwarna warni, bumbung laluan dibuat seperti tent, belanjanya hingga mencapai berjuta ringgit.  Ini adalah satu perniagaan yang cukup baik sekali kerana modal orang lain yang keluarkan dan untungnya peniaga yang dapat.  Adalah diingatkan bahawa semua perniagaan, kenalah diambil kira akan modal serta belanjanya,  walaupun pihak Kerajaan yang mengeluarkan belanja. Tidaklah boleh dikira semua pendapatan itu sebagai untung. Seseorang peniaga kenalah mempelajari teknik bagaimana hendak mencari keuntungan setelah diambil kira perbelanjaan termasuk juga membayar hutang.  Kalau ianya tidak cekap dalam perkiraan ini, maka perniagaannya tidak boleh membesar dan juga selagi ianya mengharapkan sesuatu perniagaan dengan modal orang lain, ianya tidak akan menjadi peniaga yang berjaya.

Dalam dasar ekonomi baru yang sudah menjangkau usia 30 tahun,  pihak Kerajaan telah banyak memberi pertolongan, bantuan, latihan serta modal perniagaan kepada orang Melayu, tetapi ramai yang tidak berjaya untuk menguruskan perniagaan.  Sebab itu pihak Kerajaan perkenalkan sistem francise iaitu perniagaan dengan cara mudah.  Semua perkiraan serta barangan yang hendak dijual sudah disediakan.  Peniaga cuma ambil barang itu dan jualkan dengan harga yang ditetapkan.  Tetapi kalau pengurusan itu pun  tidak boleh dilakukan, maka peniaga itu akan menanggung rugi.

Dalam bandar-bandar besar di Malaysia didapati tidak ada peniaga Melayu, semuanya adalah peniaga-peniaga Cina, India pun tiada.  Ini adalah satu amalan yang tidak sihat bagi sebuah negara yang penghuninya berbilang kaum.  Kerajaan berkehendakan semua kaum yang berniaga dalam bandar, barulah masing-masing tidak berasa irihati terhadap satu sama lain.  Peristiwa 13 Mei 1969 dimana berlakunya rusuhan antara kaum di Kuala Lumpur, orang Melayu mengamuk membakar semua kedai, kereta, rumah dan segalanya kerana mereka tahu harta-harta yang dibakar itu bukannya hak orang Melayu.

Sekarang pihak Kerajaan sedang berusaha supaya dalam Kuala Lumpur sendiri terdapat peniaga-peniaga Melayu, bangunan-bangunan kepunyaan orang Melayu, kereta-kereta besar dimiliki oleh orang-orang Melayu.  Kalau mereka bakar, ianya hak sendiri atau hak keluarga mereka.  Sebab itu mereka akan berjaga-jaga, tidak akan melakukannya.  Sekarang ini pihak Kerajaan telah menempatkan semua kaum untuk hidup bersama-sama  dalam bandar-bandar baru yang dibangunkan.  Terdapat pekedai-pekedai terdiri dari orang-orang  Melayu dan bukan Melayu untuk sama-sama berganding bahu hidup dalam sebuah masyarakat.  Kalau berlakunya perselisihan faham, mereka tidak akan bertindak ganas kerana yang akan menjadi mangsanya ialah kaumnya sendiri. 

Tetapi untuk menempatkan orang-orang Melayu dibandar-bandar baru ini cukup susah kerana tidak banyak orang Melayu yang sudah sampai kepada tahap boleh berniaga dalam kedai batu.  Kebanyakan orang Melayu masih lagi suka berniaga di tepi jalan hinggalah sekarang ini.  Adakah selama-lamanya orang Melayu hendak berniaga di tepi jalan.  Tentulah orang Melayu juga hendak berniaga dalam kedai-kedai batu, sungguh pun amat susah, kenalah berazam serta melatihkan diri sendiri bagaimana hendak berniaga dengan perbelanjaan yang begitu tinggi, umpamanya kalau kedai dimiliki sendiri, itulah modal yang dikeluarkan yang mesti dapat balik.  Kalau kedai disewa, kenalah bayar sewa setiap bulan dan bayaran lain-lain lagi yang semuanya itu dinamakan perbelanjaan asas yang terpaksa dibelanja (overhead expenses).  Kalau sekiranya untung yang diperolehi itu sedikit tentulah tidak cukup untuk menutupi perbelanjaan yang besar.  Kalau keadaan ini tidak dapat di atasi, selama-lamanya orang Melayu akan berniaga di tepi jalan.  Takkanlah di Malaysia ini orang Melayu berniaga di tepi jalan dan orang Cina berniaga dalam kedai batu yang semakin elok dan mewah. Orang Melayu juga mestilah berubah pindah daripada bangsal di tepi jalan kepada kedai-kedai batu yang lebih baik dan tersusun, tetapi itu memerlukan keupayaan berniaga yang lebih tinggi. Orang Melayu juga boleh berjaya kalau sanggup tahan hati, jangan cepat sangat hendak belanja.

Adalah menjadi harapan YAB. Perdana Menteri untuk melihat semua bandar-bandar di Malaysia ini ada mempunyai kedai Melayu, Cina dan India, barulah pembahagian kekayaan di Malaysia ini menjadi lebih adil.  Kerajaan telah berusaha bermacam-macam cara untuk menolong orang Melayu berniaga dengan baik supaya perniagaannya berkembang maju. Cara menghiaskan kedai amat penting sekali terutamanya barangan yang hendak dipasarkan itu biarlah senang dilihat dan dalam keadaan yang cukup tertib dan cantik. 

YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir menegur peniaga-peniaga di Pekan Rabu supaya barangan yang serupa janganlah dijual dalam kedai sederet berdekatan.  Seelok-eloknya tukarlah kepada barangan lain untuk dijual.  Susunatur barangan hendaklah kemas dan cantik.  Pasangkan papantanda nama kedai untuk menarik perhatian pelanggan supaya Pekan Rabu kelak akan meningkat dan betul-betul menjadi Che Det Mall.  Pekan Rabu sekarang sudah tidak cukup tempat lagi, mungkin kita akan fikir pula tentang Pekan Rabu Kedua dan sebagainya.  Adalah diharapkan bahawa Pekan Rabu bukan sahaja ada di Alor Setar, sepatutnya ada di tiap-tiap bandar di seluruh Malaysia dengan cara-cara perniagaan  Ala-Bazarnya diperkenalkan.  Dengan yang demikian, bolehlah orang Melayu mula belajar berniaga.

Adalah menjadi harapan YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir supaya satu hari nanti peniaga-peniaga Pekan Rabu memiliki kedai besar di Kuala Lumpur.  Bila sampai kepada tahap itu beliau menyatakan yang usaha beliau sudah tercapai kematlamatnya.  Peniaga-peniaga di Pekan Rabu hendaklah menganggap Pekan Rabu ini tempat melatih diri dalam bidang perniagaan dengan harapan satu hari nanti akan dapat pindah menjadi peniaga yang lebih besar di kedai batu, mungkin juga akan menjadi peniaga yang mempunyai cawangan-cawangan di sana sini.  Inilah harapan beliau serta berdoa supaya Pekan Rabu akan terus maju dan Koperasi Pekan Rabu juga akan terus maju dan ahli-ahli Koperasi akan berusaha untuk memajukan Pekan Rabu supaya suatu hari nanti ianya yang begitu maju akan menarik perhatian bandar-bandar lain untuk mereka juga mempunyai pekan mingguan seperti yang terdapat di Alor Setar ini. 

Dengan harapan inilah beliau dengan segala sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 38  Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad.

Sekian terima kasih. Wassalam.   

 

Menu Utama | Sejarah Pekan Rabu | Che Det & Pekan Rabu | Nostalgia Che Det

Sireh Pulang Ke Gagang | Pekan Rabu Introduction (English)