APAKAH DIA KOPERASI?

Koperasi ialah pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 dengan matlamat untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggotanya melalui aktiviti-aktiviti koperasi.

 

APAKAH CIRI-CIRI KOPERASI?

Koperasi melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi bagi memenuhi keperluan anggota-anggotanya.

  • Koperasi bukannya badan politik. Anggota-anggota tidak boleh menggunakan koperasi sebagai tempat berpolitik.
  • Koperasi bukannya Kesatuan Sekerja (Trade-Union). Konsep koperasi ialah tolong menolong antara satu sama lain, bukannya dengan cara berjuang menuntut hak-hak dari majikan.
  • Koperasi bukannya badan kebajikan.
  • Koperasi bukan syarikat persendirian/swasta.

Anggota-anggota koperasi mengurus dan mengawal perjalanan koperasi berdasarkan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil Koperasi.
 



APAKAH PRINSIP-PRINSIP YANG DI AMALKAN OLEH KOPERASI?

Koperasi mengamal prinsip-prinsip :-

  • keanggotan sukarela dan terbuka

  • kawalan secara demokkrasi oleh anggota

  • penglibatan anggota dalam kegiatan ekonomi

  • kebebasan dan autonomi

  • pendidikan, latihan dan maklumat

  • bekerjasama di antara koperasi-koperasi

  • prihatian terhadap masyarakat
     



APAKAH FAEDAH KOPERASI KEPADA ANDA?

  • Anggota memiliki koperasi melalui modal syer dan yuran yang disumbangkan di samping menjadi pengguna perkhidmatan dan barangan yang ditawarkan oleh koperasi. Dengan ini anggota berhak menentukan jenis barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.
     

  • Koperasi menawarkan barangan berkualiti pada harga yang berpatutan kepada anggota-anggotanya. Disamping itu koperasi juga menyediakan kemudahan tabungan yang terjamin dan kemudahan pinjaman pada kadar faedah yang berpatutan.
     

  • Anggota-anggota menikmati pulangan atas langganan, modal yang disumbangkan dan penyertaan aktif di dalam pengurusan dan aktiviti koperasi. Sebahagian daripada keuntungan koperasi diperuntukkan kepada tabung kebajikan anggota bagi membiayai aktiviti-aktiviti kebajikan seperti tabung pendidikan anak-anak anggota, khairat, kematian dan sumbangan kapada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.


APAKAH AKTIVITI-AKTIVITI YANG BOLEH DIJALANKAN OLEH KOPERASI ?

Pelbagai aktiviti boleh dijalankan oleh koperasi.Maklumat koperasi ialah untuk memajukan sosio-ekonomi anggota-anggotanya menurut prinsip-prinsip koperasi. Kini, koperasi-koperasi telah menceburi hampir keseluruhan bidang perniagaan seperti :-

  • kredit

  • pengguna

  • perumahan

  • pembangunan tanah

  • perindustrian

  • perbankan

  • insuran


APAKAH KELAYAKAN UNTUK MENJADI ANGGOTA KOPERASI?

Untuk layak menjadi anggota sesuatu koperasi, seorang mestilah:

  1. seorang warganegara Malaysia;
     

  2. telah mencapai umur lapan belas tahun atau, bagi koperasi sekolah telah mencapai umur dua belas tahun; dan
     

  3. bermastautin atau bekerja atau mempunyai tanah dalam kawasan operasi atau,dalam hal koperasi sekolah, menjadi penuntut berdaftar sekolah itu.


SIAPAKAH KUASA TERTINGGI DALAM KOPERASI?

Berdasarkan kepada konsep koperasi itu ditubuhkan, koperasi adalah milik anggota. Melalui mesyuarat agung yang diadakan setiap tahun, anggota-anggota melantik Lembaga Koperasi dan Jawatankuasa Audit Dalaman untuk mengawal perjalanan koperasi seperti yang telah diamanahkan.
 


SIAPAKAH YANG MENGURUSKAN KOPERASI?

Pengurusan koperasi dikendalikan oleh Lembaga yang dilantik oleh anggota-anggota koperasi pada mesyuarat agung. Lembaga ini melantik diantara mereka seorang Pengerusi, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari atau Pengurus serta beberapa Jawatankuasa Kecil yang boleh membantu Lembaga dalam mengendalikan aktiviti koperasi.

Lembaga koperasi bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh mesyuarat agung.

Lembaga mengadakan mesyuarat bulanan untuk membincangkan urusan perniagaan dan aktiviti koperasi seperti permohonan menjadi anggota, permohonan pinjaman, pelaburan, meluluskan penyata bulanan dan laporan Jawatankuasa Kecil.


APAKAH TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA AUDIT DALAMAN?

Jawatankuasa Audit Dalaman yang dilantik oleh mesyuarat agung bertanggungjawab untuk menentukan hal ehwal koperasi dijalankan mengikut matlamat,peruntukan Undang-undang Kecil dan ketetapan-ketetapan yang dibuat di mesyuarat agung.
 

Jawatankuasa ini akan mengemukakan laporan tentang pengurusan dan hal-ehwal koperasi di dalam mesyuarat agung.
 


APAKAH PERANAN ANDA SEBAGAI ANGGOTA ?

Sebagai anggota koperasi anda berperanan untuk:
 

  • Mencarum modal koperasi dalam bentuk syer, yuran atau simpanan khas.

  • Menyumbangkan buah fikiran bersama.

  • Bergiat aktif menjayakan semua aktiviti yang dijalankan oleh Koperasi seperti kata pepatah Melayu:

Bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muafakat.
Hati gajah sama dilapah,
hati kuman sama dicecah
Berat sama dipikul
ringan sama dijinjing


APAKAH KEISTIMEWAAN SESEBUAH KOPERASI?
 

Koperasi menikmati keistimewaan berikut:-
 

  • bayaran pendaftaran koperasi adalah minima.
     

  • pengecualiancukai pendapatan atas keuntungan bagi koperasi yang berusia kurang daripada 5 tahun. Pengecualian ini akan diteruskan selepas 5 tahun jika syer dan yuran anggota bersama dengan rezab berjumlah kurang daripada RM 750,000.00.
     

  • pengecualikan cukai setem.
     

  • nasihat, bimbingan, penyelian dan latihan oleh kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Koperasi.
     



APAKAH JENIS-JENIS KOPERASI YANG TELAH DIDAFTARKAN?

Berikut ialah jenis-jenis yang telah didaftarkan :-

  • Koperasi Pengguna (Pasaran, Mini Market dan Koperasi Sekolah)
     

  • Koperasi Perumahan
     

  • Koperasi Industri Kampong (KIK)
     

  • Koperasi Pembangunan Daerah (KPD)
     

  • Koperasi Jimat Cermat Dan Pinjaman Meminjam
     

  • Koperasi Kenderaan Pengangkutan
     

  • Koperasi Insuran (MCIS)
     

  • Koperasi Kredit dan Bank (Bank Rakyat)
     

  • Koperasi Pekerja
     


APAKAH PERANAN JABATAN PEMBANGUNAN KOPERASI?

Sejak ditubuhkan pada Julai, 1922, Jabatan Pembangunan Koperasi berperanan:
 

  • mendaftarkan dan membatalkan pendaftaran koperasi-koperasi dan memastikan bahawa koperasi-koperasi berfungsi mengikut peruntukan-peruntukan Akta Koperasi 1993.

  • menasihati Menteri tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan koperasi.

  • menggalakkan dan meningkatkan penubuhan dan pembangunan koperasi dalam semua sektor ekonomi dan memnbantu koperasi-koperasi meningkatkan kecekapannya.


APAKAH LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENUBUHKAN DAN MENDAFTARKAN KOPERASI?

1. Hubungi Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri Sekumpulan orang yang berminat menubuhkan sebuah koperasi hendaklah menghubungi JPK di negeri yang berkenaan. Permohonan untuk menubuhkan koperasi hendaklah sampai kepada Pengarah JPK melalui Pegawai Ehwal Ekonomi Wilayah/Daerah.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Penaja Selepas mendapat kelulusan Ketua Pendaftar atau Pendaftar Negeri sebuah Jawatankuasa Penaja  seramai sekurang-kurangnya sepuluh (10) orang hendaklah dibentuk.Di antara tugas Jawatankuasa Penaja ini ialah:-

  • Menentukan jenis koperasi yang akan ditubuhkan dan menyediakan aturan-aturan kegiatan utama dan lain-lain kegiatan yang termasuk dalam objektif penubuhan koperasi.

  • Mengkaji/menggubal Undang-undang Kecil dengan berpandukan Undang-undang Kecil seragam yang disediakan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi.

  • Mendaftarkan bakal-bakal anggota dalam satu daftar dengan memasukkan nama, umur, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat masing-masing. Penaja hendaklah memastikan sekurang-kurangnya seratus (100) orang telah mendaftarkan diri untuk menjadi anggota sebelum mesyuarat agung permulaan ditetapkan.

3. Mesyuarat agung permulaan Mesyuarat ini bertujuan mendaftarkan koperasi yang ditubuhkan, menerima Undang-undang Kecil dan memilih anggota Lembaga koperasi. Setelah koperasi didaftarkan oleh Ketua Pendaftar, ianya menjadi sebuah organisasi yang sah dari sissi undang-undang. Bagi tujuan pendaftaran, dokumen-dokumen berikut perlu disediakan:

  • Borang permohonan mendaftar koperasi ditandatangani oleh sepuluh (10) orang Jawatankuasa Penaja.

  • Tiga (3) naskah Undang-undang Kecil.

  • Minit mesyuarat agung permulaan ditandatangani sekurang-kurangnya lima puluh (50) yang hadir.

4. Penyerahan dokumen-dokumen pendaftaran kepada Ketua Pendaftar Dokumen-dokumen pendaftaran hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Negeri tidak lewatdaripada tujuh (7) hari selepas mesyuarat agung permulaan diadakan.


SUDAHKAH ANDA MENJADI ANGGOTA KOPERASI?

Keanggotaan koperasi terbuka kepada semua tertakluk kepada peruntukan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil koperasi.

Anda berpeluang menjadi anggota koperasi setelah membaca dengan teliti. Jika anda inginkan maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Pembangunan Koperasi yang berhampiran:

 

Pengurusan | Menu Utama

Hantarkan komen dan cadangan anda kepada webmaster@pekanrabu.cm
Tarikh kemaskini : 13-Jan-2004